Tengkolok, tanjak
dan destar adalah busana warisan Melayu yang telah diwarisi sejak zaman dahulu
lagi. Tengkolok, tanjak dan destar adalah tiga pakaian yang berbeza. Secara
lazimnya ia diperbuat dari sehelai kain dan digubah menjadi sebuah bentuk untuk
disarungkan ke atas kepala. Tengkolok lebih sinonim dengan pakaian rasmi raja dan
pembesar Melayu pada zaman dahulu dan dipakai semasa majlis adat istiadat
bangsa Melayu.
Manakala
tanjak pula dipakai oleh golongan kebiasaan dan ia adalah pakaian harian bangsa
Melayu pada zaman dahulu untuk kelihatan kemas dan bergaya. Destar pula biasa
dipakai oleh buruh, petani, pesawah untuk menutup kepala mereka dari panas
terik semasa bekerja.
Perbezaan
antara tengkolok, tanjak dan destar adalah dari bentuk dan gubahannya.
Tengkolok biasanya digubah menjadi tinggi yang nampak seakan-akan mahkota dan
mempunyai ruang kosong ditengah yang menampakkan rambut, gubahan tanjak pula seakan-akan
tengkolok tetapi digubah lebih rendah dan sederhana. Manakala gubahan destar
menutupi penuh bahagian atas kepala.
Pada zaman
dahulu, memakai tengkolok dapat memperlihatkan pangkat atau darjat si
pemakainya mengikut lipatan dan bentuk tengkolok tersebut. Seperti bendahara,
laksamana, temenggung semuanya mempunyai bentuk tengkolok masing-masing.
Untuk
tengkolok diraja, ia mempunyai bentuk khas yang tidak boleh ditiru oleh orang
lain. Lipatannya juga akan serong dan tinggi ke sebelah kanan manakala golongan
kebiasaan perlu serong ke sebelah kiri. Tengkolok diraja berwarna kuning dan
disulam dengan benang keemasan serta dihiasi dengan perak dan batu permata.
Tengkolok raja
dan bangsawan diperbuat daripada kain berkualiti tinggi sepeti sutera dan
songket. Sementara itu, tanjak dan destar hanya diperbuat dari kain biasa.
Terdapat pelbagai
jenis lipatan dan gubahan tanjak yang mempunyai bentuk dan nama yang unik dan
semuanya mempunyai maksud dan asal usulnya sendiri. Antaranya seperti lipatan
‘’Dendam tak sudah” yang berasal dari Negeri Sembilan, ia adalah gubahan untuk
tengkolok diraja Negeri Sembilan, Kedah dan Yang di-Pertuan Agong, gubahan ini
melambangkan kekuasaan dan kehebatan kerajaan raja itu.
Kebanyakan jenis
lipatan dan gubahan tengkolok, tanjak dan destar diambil ilham daripada haiwan
dan alam semula jadi, seperti Lang Menyonsong Angin, Lang Melayang, Belalai
Gajah, Setanjak Balung Raja,
Sekelungsung Bunga, Kacang Dua Helai Daun, Solok Timba, Mumbang Belah
Dua, Ayam Patah Kepak, Buana, Getam Pekasam, Pari Mudek dan sebagainya. Setiap
jenis gubahan mempunya ciri-ciri keseniannya tersendiri.
|
Perak- Balung ayam |
|
Perak- Getam pekasam |
|
Selangor- Pari mudek |
|
Negeri Sembilan- Dendam tak sudah |